Apabila seseorang berhutang, maka menjadi kewajipannya untuk membayar kembali hutangnya. Walaupun tidak mampu disebabkan kesempitan hidup, ia sama sekali tidak menggugurkan tanggungjawab melangsaikan hutang.
Allah SWT berfirman pada ayat 282 dari surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan bayarannya) itu….(hingga akhir ayat).
Sebenarnya ayat itu adalah ayat yang terpanjang dalam al-Quran dan yang dikenali di kalangan ulama dengan nama ayat al-Mudayanah (ayat hutang piutang). Ayat ini antara lain berbicara mengenai anjuran atau kewajipan menuliskan soal hutang piutang sambil menekankan perlunya menulis hutang walau sedikit, disertai dengan jumlah dan ketetapan waktunya.
Pada potongan ayat pada firman-Nya, ‘hingga ke suatu masa tertentu’ bukan saja mengisyaratkan bahawa ketika berhutang perlu ditentukan waktu melunaskannya dan bukan saja berkata, ‘kalau saya ada wang’, tetapi juga untuk mengisyaratkan bahawa ketika berhutang, hendaklah sudah tergambar di benak fikiran, bagaimana dan di mana sumber untuk melangsaikan hutang itu.
Ini secara langsung menjadikan seseorang akan lebih berhati-hati dalam berhutang. Perkara itu amat besar kesannya di akhirat kelak sehingga Nabi SAW enggan menyembahyangkan mayat orang yang berhutang dan tidak ada orang yang mahu menjamin hutangnya. Selain itu, Nabi SAW dalam riwayat lain bersabda: “Diampunkan bagi syahid semua dosanya kecuali hutangnya.” (Hadis riwayat Muslim).
Tuntutan agama Islam melahirkan ketenangan kepada penganutnya, sekali gus harga diri. Kerana itu, agama tidak menggalakkan seseorang itu berhutang kecuali jika sangat terpaksa sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Hutang adalah kehinaan pada siang hari dan keresahan pada malam hari.” Seseorang yang tidak rasa bimbang dan resah kerananya, bukanlah seorang yang menghayati kehendak agama.
Salah satu doa Rasulullah SAW yang popular adalah, “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari hutang yang memberatkan serta penekanan manusia terhadapku.” Pada hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, “Penangguhan membayar hutang oleh orang yang mampu adalah penganiayaan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kalau kita hendak membayar hutang, tetapi orang yang kita berhutang itu meninggal dunia, maka wajiblah kita menyelesaikannya kepada ahli waris pemberi hutang yang meninggal dunia itu. Ertinya, hutang tidaklah gugur hanya kerana beliau sudah meninggal dunia. Jika beliau tiada waris, atau tidak diketahui khabar beritanya, maka hendaklah diserahkan kepada orang yang diamanahkan oleh pemerintah untuk menguruskannya (sekiranya ada). Jika tidak ada, bolehlah dititipkan kepada orang alim.
Sekiranya masih mempunyai halangan atau kesukaran, bolehlah disumbangkan untuk kemaslahatan umum seperti untuk membuat jalan atau jambatan dengan niat akan menggantikannya sekiranya bertemu ahli waris tuan hutang.
Ada disebutkan dalam kitab Salalimul Fudlola’ Syarah Mandzumah Hidayatul Azkiya’ ila Thariqil Auliya, agi Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani pada Hamisy Kifayatul Atqiya’ wa minha jil asy fiya’, halaman 16, (ertinya:) “Jika sudah meninggal orang yang berhak, diserahkannya kepada warisnya. Maka jika tidak ada warisnya dan terputus beritanya, maka diserahkan kepada kadi yang thiqah (terpercaya), yang diredai perjalanannya dan agamanya. Maka jika tidak ada, maka diserahkan kepada orang alim yang patuh menjalankan agamanya. Maka jika berhalangan juga, maka dipaling pada masalah umum seperti untuk membina jambatan batu, dengan niat menggantinya apabila ditemui ahli waris tuan yang memberi hutang itu.”
Jika masih sukar atau tidak mampu kerana takut atau lainnya, bolehlah disedekahkan kepada orang yang benar-benar berhajat. Jika tidak janganlah mengambil risiko untuk berhutang..Wallahua’lam.
p/s mintak maaf lau de pihak yg terasa...
No comments:
Post a Comment